Sunday 22 September 2013

Cinta Remaja

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Cinta adalah makhluk tidak bernyawa. Ia tidak berjisim, tidak berjirim, tidak punya rupa dan fizikal. Tetapi ia ajaib dan berkuasa. Ia menjalar dalam jiwa dan menggetarkan rasa. Siapakah sang ajaib Penciptanya?

Cinta adalah biasan dari Penciptanya yang Maha Pencinta. Ia dibiaskan kepada segala ciptaan-Nya supaya mereka dapat hidup dalam cinta, kasih dan mesra, serta aman bahagia.

Cinta adalah fitrah dan cinta adalah suci. Cuma, kerana hawa nafsu buas, cinta disalahgunai. Cinta suci telah dicemarkan oleh manusia yang tamak, tidak sabar, gelojoh, rendah akal dan terpengaruh oleh hasutan dan desakan keji syaitan.

Masa remaja adalah masa cinta berbunga. Pantas sekali remaja bercinta, mencari cinta dan mahu dicintai. Cinta remaja kini sudah menjadi fenomena. Di merata-rata didapati remaja bercinta, malah tenggelam dan hanyut dalamnya, lalu mati, terkorban, korban cinta yang ngeri dan menjijik serta bangkainya membusukkan.

Berbicara soal cinta remaja adalah berbicara soal hubungan dan pergaulan remaja lelaki dan perempuan. Yang dimaksudkan dengan cinta remaja dalam tulisan ini hanyalah cinta remaja yang bathil, yang salah, yang terlarang, dan yang haram, dan bukan cinta remaja yang suci. Yang dimaksudkan dengan cinta remaja dalam tulisan ini ialah cinta remaja sebelum mereka bernikah, iaitu mereka bercinta dengan lelaki bukan hak halal mereka ie: bukan suami mereka.




Senarai beberapa panduan dalam manual kehidupan seorang bernama Muslim: 

1. Hubungan Lelaki dan Wanita atas Keperluan

Umum mengetahui bahawa sistem kehidupan manusia yang paling sempurna dan agung ie Islam membataskan hubungan antara lelaki dan wanita dengan hikmah tertentu yang Allah lebih mengetahui sebagai Pencipta kedua-dua jantina itu. Dari pemisahan tempat solat dan susunan safnya sudah ternyata hakikat pemisahan antara lelaki dan wanita. Komunikasi antara dua jantina ini bagaimanapun diizinkan dalam hal-hal keperluan seperti urusan muamalat harian, tetapi tidak dalam hal-hal kehendak yang banyak didorong oleh hawa nafsu seperti kehendak berhibur dan berseronok lelaki dengan wanita luar nikah. Kehendak seperti itu adalah berlandaskan hasutan syaitan dan desakan hawa nafsu semata yang mengindahkan dunia sementara tapi mengazabkan akhirat hidup yang selama.

Cinta remaja adalah perlakuan yang terkategori dalam kehendak yang berlandas hawa nafsu. Maka ia adalah perhubungan yang tidak terizin, dengan kata laras hukum; haram.

2. Khalwat Fizikal dan Khalwat Hati adalah haram

Rasulullah s.a.w bersabda "Setiap kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita, syaitan akan menjadi orang ketiga."

Sudah termaklum dalam masyarakat Muslim bahawa khalwat adalah haram. Umumnya, orang memahami bahawa khalwat terjadi hanya setelah seorang lelaki dan seorang wanita bersama-sama bersendirian, terutama di tempat tiada orang lain. Khalwat itu bahaya dan haram. Persoalannya, apakah tidak berkhalwat, tidak bahaya dan tidak haram jika ada tiga orang atau lebih terdiri daripada lelaki dan wanita, di suatu tempat yang di sana mereka tidak ada perasaan malu lagi untuk berbuat maksiat, seperti di pusat-pusat hiburan dan arak? Persoalan lain, apakah tidak berkhalwat, tidak bahaya dan tidak haram dua orang dari lelaki dan wanita bersama-sama di khalayak ramai, sedang hati kedua-duanya tertaut rapat oleh hawa nafsu dan perlakuan kedua-duanya adalah perlakuan seperti orang berkhalwat, yang tidak rasa malu kepada sesiapa di sekeliling, bahkan tidak rasa malu kepada Yang Maha Melihat? Persoalan lain lagi ialah apakah tidak termasuk khalwat dua orang lelaki dan wanita yang terjalin dengan hubungan hati berlandas maksiat dalam perbualan secara langsung mahupun melalui telefon dan alat komunikasi lain?

Ternyata keadaan-keadaan tersenarai di atas adalah maksiat semata dan terkategori khalwat juga, kerana khalwat itu bukan pada fizikal sahaja, tetapi juga pada hati, malah khalwat hati itu lebih terdahulu bermula kerana setiap perbuatan dan perkataan adalah hasil dari ilham hati. Khalwat jasadi (badan) hadir setelah khalwat qalbi (hati).

Dalam soal cinta remaja, khalwat secara fizikal di tempat tiada orang lain berkemungkinan terjadi, bahkan memang sejarah membuktikan ia pasti terjadi, yang menentukan hanya asri (masa), lambat atau cepat. Lebih mudah terjadi dari khalwat jasadi ialah khalwat hati yang berlangsung secara terbuka atau tertutup. Dalam situasi terbuka umpama pertemuan lelaki dan wanita di khalayak umum, jasad keduanya tidak berkhalwat, tetapi hati keduanya bias saja berkhalwat melalui tautan nafsu yang melahirkan kata-kata lunak manja wanita dan pandangan serta jelingan mata panah syaitan. Disebabkan khalwat hati, remaja bercinta hilang perasaan malu kepada orang lain dan kepada Rabb mereka, sekalipun di tempat umum dan di khalayak ramai, mereka melakukan apa saja maksiat yang memenuhi citarasa hawa nafsu. Tambahan lagi masyarakat individualistic hari ini sudah tidak peduli maksiat berlangsung hebat depan mata mereka asal kamu nikmat dan aku tidak terganggu bahkan dapat mengongsi sama nikmat maksiatmu. Astaghfirullah. Na'uzubillah. Khalwat hati bisa saja terjadi sepanjang perhubungan langsung muka ke muka mahupun melalui media; telefon, pesanan tek, surat, emel dan sebagainya. Jelas bahawa cinta remaja adalah terlarang kerana khalwat fizikal dan hati yang mengisi cinta remaja itu adalah haram.

3. Bertentang Mata adalah Panahan Beracun Iblis

"Pandangan itu adalah panahan beracun Iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku nescaya akan Aku gantikan ia dengan iman dan dia akan memperoleh kemanisan dalam hatinya." (hadis riwayat at Tabrani dan al Hakim)

Tentu sekali tidak ada antara kita yang mahu terkena panahan, apalagi panahan beracun. Inikan pula panahan beracun yang bukan sebarangan, tapi panahan beracun dari musuh kita, Iblis dan syaitan yang dilaknat Allah. Terkena panahan saja, kita tidak mahu kerana ia menyakitkan. Semua orang dapat mengagak kesakitan dari terkena panahan. Bertentang mata antara lelaki dan wanita sebenarnya menyakitkan kerana ia adalah dosa dan dosa pasti menyakitkan di neraka nanti, walaupun tidak sekarang menyakitkan tetapi akan menyakitkan di hari kemudian; akhirat. Hanya pada fizikalnya pertentangan mata lelaki wanita itu tidak menyakitkan, malah menikmatkan kerana ia berempahkan nafsu, padahal hakikatnya amat menyakitkan.

Panahan kosong saja sudah sangat menyakitkan, apa lagi panahan beracun. Semua orang tahu racun kesannya bukan sedikit, malah boleh bertindak cepat dan menyebar ke seluruh badan, hingga ia mengalir dalam darah dan meracuni seluruh urat, saraf, otot dan anggota . Bertentang mata lelaki wanita itu panahan beracun. Maka amat senang sekali dimengertikan kita bahawa ia akan segera menusuk masuk dalam darah, dan berlari, menyebar ke seluruh badan dengan pantas serta menyerang bahagian-bahagian badan lain. Sebab itu, sekali saja bertentang mata lelaki perempuan, hati dengan pantas terus bergetar, bergegar dengan niat dan bayangan yang jahat, dan seluruh anggota pun bangkit bersemangat untuk bertindak, padahal tindakan itu adalah maksiat. Demikianlah kuasa tindak sepantas kilat yang bisa tergenerate dari sekilas pertentangan mata dua jantina.

Apatah lagi panahan beracun ini bukan milik pemanah sebarangan, tapi si pemanah musuh kita yang jelas lagi nyata. Dan dia musuh yang berkuasa. Mesti dan sedapat-dapatnya kita mengelak panahan beracun ini.

Menyentuh cinta remaja, seolah-olah terbayang remaja lelaki dan perempuan bergelimpangan, mati merana dan merata di jalanan kerana terkena panahan beracun Iblis dan syaitan. Bagaimana mereka bisa mengelak dari terkena panahan itu kalau mereka sendiri yang pergi mencari-cari dan menghadapkan diri dan mata mereka pada panahan itu. Amat sukar dan ironis untuk difahami, mereka itu pergi menghadapkan diri di depan panahan beracun syaitan secara berdepan-depan, seolah–olah menyerah diri dan lagi mereka mengambil jarak yang amat dekat, sehingga kuasa panahan yang mengena itu amat kuat.

Memang telah terang lagi nyata, panahan beracun Iblis itu bahaya dan setiap yang bahaya tidak boleh diambil, dilarang mengambilnya apatah lagi bermain-main dan berseronok dengannya. Pertentangan mata lelaki wanita itu bahaya, maka dilarang bahkan haram melayani, bermain-main dan berseronok dengannya. Pendeknya, cinta remaja yang sudah semestinya terbina dari pertentangan-pertentangan mata lelaki dan wanita itu adalah bahaya, maksiat, dosa dan haram.

4. Suara Lunak Lemak Manja Wanita adalah Aurat


Surah al Ahzab ayat 32: "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik" .

Yang dimaksud dengan tunduk di sini ialah bukanlah tunduk pandangan semasa berbicara, tetapi tunduk di sini bermakna melembutlunakmanjakan suara semasa wanita berbicara dengan lelaki sehingga bias menimbulkan keberahian lelaki itu untuk bertindak tidak baik terhadap mereka. Contoh sikap demikian ialah bertutur secara lunak, lemah gemalai, manja, dan menggoda hawa nafsu lelaki. Yang dimaksud dengan dalam hati mereka ada penyakit ialah orang yang mempunyai niat berbuat serong dengan wanita, seperti melakukan zina atau pembukaan kepadanya.


Nah! Isteri-isteri Nabi yang merupakan para wanita yang paling mulia dan merupakan ibu kepada kaum mukminin itu pun diberi panduan, amaran dan peringatan agar tidak melunakkan suara apabila berbicara dengan lelaki. Para isteri Nabi yang suci pun diberikan peringatan keras, apatah lagi kaum mukminat seluruhnya. Kaum lelaki dalam kuatnya secara jasadi sebenarnya lemah terhadap tarikan wanita. Ternyata percakapan wanita yang lunak, manja, dan menggoda kepada lelaki yang bukan merupakan suaminya adalah maksiat yang jelas dan tentunya haram. Sedang dalam cinta remaja itu, lagak pergaulan, percakapan dan komunikasi antara kedua-dua orang dari pasangan remaja itu tidak banyak bezanya dengan lagak pergaulan seorang suami isteri yang semestinya berkasih-kasihan dan manja kepada pasangannya semasa perhubungan dan perbualannya. Mereka bertutur dengan kata-kata manja dan nada menggoda. Perlakuan sedemikian padahal tidak layak sama sekali bagi pasangan bukan suami isteri, bahkan haram. Demikian sebabnya, cinta remaja yang memang mengandung perlakuan tidak halal ini adalah terlarang, malah haram.

5. Bersentuhan antara lelaki dan wanita

Bersentuhan antara lelaki dan wanita menurut syariat (undang-undang) Islam adalah haram. Bersentuhan saja sudah haram, apatah lagi perlakuan yang lebih dari itu. 

Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika kepala kamu ditikam dengan besi, itu lebih baik daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal untuk kamu." (hadis riwayat at Tabrani dan al Baihaqi)

Kepala ditikam dengan besi itu bukan hal yang baik, malah terlalu pedih azabnya. Tapi, ini dikatakan lagi bahawa hal yang terlalu pedih azabnya itu (kepala ditikam dengan besi) lebih baik daripada lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuhnya. Ini sudah bermakna, lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuh itu terlalu jauh lebih teruk dan buruk dari teruk dan pedihnya kepala ditikam dengan besi. Kami berlindung dengan Allah dari hal itu. Buruk dan teruknya lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuhnya itu adalah dari aspek moralnya dan juga dari aspek hukumannya yang tersangat dahsyat di hari perhitungan kelak.

Dalam kasus cinta remaja, kalau sudah wujud pertemuan jasadi (ie dating) malah pertemuan qalbi (hati) itu, pastilah berlaku kedekatan secara jasad (ie fizikal lelaki dan wanita berada dalam jarak yang dekat, "close proximity "wink. Padahal lelaki dan wanita itu ibarat dua magnet berbeza kutub, pastilah saling tarik menarik apabila berdekatan. Semakin dekat kedudukan, semakin kuat tarikannya. Tarikan itu akhirnya berakhir dengan sentuhan antara keduanya, malah bukan sekadar tersentuh, bahkan terikat rapat, erat dan ketat. Itu sudah hukum logik ciptaan Pencipta lelaki, wanita dan magnet. Begitulah juga lelaki dan wanita, tarikan antara keduanya tidak ubah seperti tarikan dua magnet. Maka memang berlaku kemungkinan, malah bukan setakat mungkin, realiti yang lepas sudah membuktikan bahawa berlaku persentuhan antara jasad lelaki dan wanita dalam cinta remaja, malah banyak kasus yang melebihinya hingga berlaku perihal yang tidak diminta. Bencana dan dosa zina.

Disebabkan cinta remaja itu mengandungi komponen haram, ie bersentuhan antara lelaki dan wanita, maka cinta remaja itu sendiri adalah haram. Itulah hakikat yang terpaksa diterima sebagai seorang Islam, sesuai dengan makna Muslim iaitu tunduk dan patuh pada Allah, seluruhnya dan sebulat-bulatnya secara total, tanpa argumen.

6. Perkara yang mendekatkan kepada zina

Sudah jelas dalam syariat Islam bahawa zina itu haram. Telah jelas juga termaktub dalam Perlembagaan Tertinggi bagi orang Islam iaitu al Quran bahawa perkara yang mendekatkan kepada zina juga adalah haram. 

Surat al Israk ayat 32 menjelaskan "Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." 

Pernyataan 'jangan' dengan jelas menunjukkan bahawa perbuatan mendekatkan kepada zina adalah haram. Cuma, masyarakat Islam yang belum jelas hakikat ini. Kalau pun sudah jelas, sengaja berpura-pura tidak tahu seolah-olah ayat ini tidak pernah exist dalam al Quran yang mereka baca secara lisan. Padahal kepura-puraan mereka itu hanyalah menipu diri sendiri kerana hendak menurut, memuja, mengagung dan memuaskan nafsu yang memang suka kepada perbuatan terlarang mendekatkan diri kepada zina.

Lagi dalam hal cinta remaja, perkara yang mendekatkan kepada zina memang jelas wujud. Berkedudukan lelaki dan perempuan dalam jarak dekat, baik secara terlindung (khalwat) atau pun secara jelas di khalayak (ie dating di tempat awam atau rumah makan), persentuhan lelaki perempuan, bahkan yang lebih dari itu, pertentangan pandangan mata, pandangan mata kepada berlainan jenis secara bernafsu, perbualan lelaki perempuan yang intim, mesra, manja, lunak, menggoda dan bernafsu, pembukaan dan pendedahan aurat terutama di pihak wanita, semuanya adalah perkara-perkara yang membuka pintu, mendorong, menggalakkan, memudahkan, meransang, membawa dan mendekatkan kepada zina. Hal-hal ini wujud dalam cinta remaja, maka cinta remaja itu sendiri adalah pembuka pintu, pendorong, penggalak, pemudah, peransang, pembawa dan pendekat kepada zina.

Maka sekali lagi jelas, bahawa perkara yang mendekatkan kepada zina itu haram dan kerana cinta remaja itu mendekatkan kepada zina, maka cinta remaja adalah haram.

Jadi, apa jalan yang halal?

Pertanyaan ini pasti berlegar di pemikiran para remaja yang di zaman emas cinta ini amat membutuhkan untuk mencintai dan dicintai, kerana itu memang sudah fitrah ciptaan Ilahi. Sesungguhnya cinta itu suci. 

Surah an Nur ayat 32 menjawab pertanyaan di atas: " Dan kahwinkanlah orang-orang yang sedirian antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." 

Memang ternyata perkahwinan adalah penyelesai masalah, kerana sesudahnya semua yang haram sebelumnya menjadi halal. Wah, indahnya!

Tetapi realitinya, banyak remaja belum siap untuk kahwin. Bahkan, dalam konsepsi yang salah, mereka seperti memandang kahwin itu penghalang keseronokan, pengakhir zaman keemasan dan pelbagai fahaman yang silap, kerana mereka tidak mengerti bahawa kahwin itulah justeru pembangkit keseronokan hidup, kebahagiaan, ketenangan dan pemula zaman emas dalam hidup dan cinta. Lantas, bagaimana bagi mereka yang belum sedia untuk kahwin atau belum mampu, padahal keinginannya sentiasa mahu.

Islam sebagai sistem yang lengkap dan penyelesai masalah, bukan penyebab masalah, tetap saja mempunyai penyelesaian untuk problematika itu. 

Surah an Nur, ayat 33 menjawab; "Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan karunia-Nya. Dan hamba sahaya yang kamu miliki yang memginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka, dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikaruniakan-Nya kepadamu. Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri mengingini kesucian, karena kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (kepada mereka) sesudah mereka dipaksa itu."

Menutup Aurat dan Menyembunyikan Perhiasan Wanita

Ayat 31 surat an Nur juga memberi panduan khususnya untuk wanita, dalam upaya memelihara kesucian diri: "... janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. ..."

Perhiasan pada diri wanita itu terbahagi dua; perhiasan internal dan perhiasan eksternal. Badan wanita itu sendiri adalah perhiasan dan merupakan perhiasan internal. Sedang segala perhiasan yang dipakaikan kepada wanita itu dari pakaian, barangan kemas, bau-bauan, warna-warnaan dan lain-lain adalah perhiasan eksternal. Maka, wanita sewajibnya tidak menampakkan perhiasan internal dan eksternal mereka. Aurat wanita adalah sebahagian dari perhiasan internal. Maka aurat hendaklah ditidaknampakkan atau disembunyikan dari pandangan lelaki baik dari segi permukaan aurat itu, warnanya, malah bentuknya ie bentuk anggota badan terutama yang sensitif pada pandangan lelaki. Pernyataan "... kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. ..." dalam ayat 32 surat an Nur itu merujuk perkara yang pada waktu kebiasaannya memang tampak, seperti luaran pakaian, muka dan tangan. Tapi itu tidak bermakna wanita boleh berpakaian, atau menghias muka dan tangan sampai boleh menarik perhatian lelaki seperti memakai pakaian yang ketat atau sendat ke bentuk badan, nipis hingga menampakkan dalaman badan atau berwarna terang ranggi yang menarik perhatian, atau memakai bau-bauan semata menarik perhatian, umpama warna dan bau bunga menarik kumbang. Muka dan tangan pun tidak sepantasnya dihias sehingga menarik perhatian lelaki bukan suami. Sedang larangan inilah yang menjadi budaya wanita moderat hari ini. Inilah cabaran dan ujian buat Muslim agar mereka layak diganjari syurga di mana Muslimat akan menjadi bidadari dan Muslimin akan bercinta dengan mereka
Dengan seindah-indah cinta syurga yang tidak pernah wujud dalam cinta hawa nafsu manusia dunia yang hina.

Diberikan lagi panduan dalam ayat 31 surah an Nur manual bagaimana wanita hendak memelihara kesucian diri

"... Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan."

Diberikan panduan secara jelas, terang lagi bersuluh agar wanita menutup perhiasannya dengan lebih kemas pada bahagian tertentu dari perhiasan itu. " ... Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, …". Memang dapat difahami bahawa ia perlu ditutup dan tidak dibuka, perlu ditidaknampakkan bentuknya, serta penutupan itu bersifat menyeluruh bukannya parsial, iaitu meliputi seluruh anggota dan bukan separuh-separuh saja atau sekadar ambil-ambil nama tutup. Yang ditutup itu adalah perhiasan, maka selayaknya ia ditutup secara total supaya sedikitpun tidak terkena kotor. Ada yang mempersoal, kalau ia ádalah perhiasan kenapa ia mesti ditutup sedangkan perhiasan adalah untuk ditayang dan diperagakan. Ya, memang ia untuk ditayang dan diperagakan, tapi ia bukan perhiasan sebarangan yang boleh ditayang kepada sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa, tetapi dia ádalah perhiasan yang tersangat mahal, mulia dan istimewa dan layak ditayang pada masa-masa tertentu di tempat-tempat tertentu kepada orang yang istimewa dan berhak sahaja ie suami tercinta.

Menjauhi Perbuatan yang Menarik Perhatian Lawan Jantina

"… Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." Satu lagi panduan berguna buat menjaga kesucian diri. Secara fiziknya dapat difahami bahawa perbuatan memukul kaki itu termasuklah menggerakkan, melangkah, menghayun atau menggoyangkan kaki agar mengeluarkan bunyi (sama ada dari hentakan sandal, loceng, gelang kaki atau lain-lain) untuk menarik perhatian lelaki terutama semasa berjalan. Amat ironis perbuatannya, pada masa dia berbuat ketaatan kepada Rabbnya dengan menyembunyikan perhiasannya, pada masa sama juga dia ingin berbuat keingkaran (maksiat) kepada Rabbnya. Dia berbuat begitu semata-mata kerana masih mahu menurut hawa nafsunya, padahal dia pun tahu bahawa kaki yang hendak digunakan untuk maksiat itu pun dari Allah. Tidakkah dia berasa malu menggunakan harta seseorang untuk menentang orang itu sendiri, padahal dia hanyalah peminjam harta itu (ie kaki)?

Berpuasa

Berpuasa adalah saranan yang amat berkuasa dan berkesan dalam menjaga kesucian diri. Rasulullah telah memberitahu dengan jelas: 

"Wahai para pemuda, siapa sahaja di antara kalian yang mampu menikah, maka menikahlah. Dan siapa sahaja yang belum mampu menikah, hendaklah ia berpuasa, sebab puasa itu memiliki pembenteng (wija)" (HR. Bukhari Muslim).

Ternyata sekali bahawa puasa itu benteng kukuh untuk para mukminin dan mukminat terutama para remaja Islam yang belum kahwin dalam usaha menjaga kesucian diri dari melakukan fahsyak kerana desakan hawa nafsu dan bujukan syaitan berupa jin dan manusia. Ya, hari ini jin-jin syaitan tidak nampak kerana ghaib tetapi syaitan berupa manusia memang banyak berkeliaran di mana-mana bahkan mereka bergiat mendakyahkan kemaksiatan kepada manusia melalui pelbagai sarana, media dan wacana.

Surah al Baqarah 183 memberitahu hasil puasa: "Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa." 

Ya, itu kesannya puasa, menghasilkan muslim yang bertaqwa. Muslim bertaqwa tentu sekali menjaga kesucian dirinya secara awas dan ketat.

"Puasa itu menjadi perisai." (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Satu lagi hadis yang menyokong kekuatan puasa sebagai wahana berguna dalam upaya menjaga kesucian diri. Puasa secara saintifiknya mengecilkan pembuluh darah sekaligus menyukarkan syaitan untuk berlari di dalamnya, secara automatik men de-active kan mereka.

Nota Kaki : Semoga kita semua tergolong dalam orang-orang yang suci dan menjadi orang yang mensucikan diri. Sesungguhnya Allah itu Maha Suci dan menyukai kesucian, lahir dan batin.

Sucikanlah dosa kami Ya Rabb yang Maha Suci.
Amin.

Thursday 19 September 2013

Ibu , Malaikat Pelindung .

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Suatu ketika, ada seorang bayi yang siap untuk dilahirkan. Maka, ia
bertanya kepada Tuhan. “Ya Tuhan, Engkau akan mengirimku ke bumi.
Tapi, aku takut, aku masih sangat kecil dan tak berdaya. Siapakah nanti
yang akan melindungiku disana?”.
Tuhanpun menjawab. “Diantara semua malaikat-Ku, Aku akan memilih
seorang yang khusus untukmu. Dia akan merawatmu dan mengasihimu.”
Si kecil bertanya lagi, ‘Tapi. disini, di surga ini, aku tak berbuat apa-apa,
kecuali tersenyum dan bernyanyi. Semua itu cukup membuatku bahagia.
Tuhanpun menjawab, ‘Tak apa. malaikatmu itu, akan selalu menyenandungkan lagu untukmu,
dan dia akan membuatmu tersenyum
setiap hari. Kamu akan merasakan cinta dan kasih sayang, dan itu semua
pasti akan membuatmu bahagia.”
Namun si kecil bertanya lagi,
“Bagaimana aku bisa mengerti ucapan mereka, jika aku tak tahu bahasa
yang mereka pakai?
Tuhanpun menjawab, “Malaikatmu itu. akan membisikkanmu kata-kata
yang paling indah, dia akan selalu sabar ada disampingmu. dan dengan
kasihnya, dia akan mengajarkanmu berbicara dengan bahasa manusia.”
Si kecil bertanya lagi, “Lalu, bagaimana jika aku ingin berbicara padamu,
ya Tuhan?”
Tuhanpun kembali menjawab, “Malaikatmu itu, akan membimbingmu. Dia
akan menengadahkan tangannya bersamamu, dan mengajarkanmu untuk
berdoa.” Lagi-lagi, si kecil menyelidik. “Namun, aku mendengar, disana,
ada banyak sekali orang jahat, siapakah nanti yang akan melindungiku?
Tuhanpun menjawab. ‘Tenang, malaikatmu, akan terus melindungimu,
walaupun nyawa yang menjadi taruhannya.
Dia, sering akan melupakan kepentinganya sendiri untuk keselamatanmu.” Namun, si kecil kini malah sedih,
“Ya Tuhan, tentu aku akan sedih jika tak melihat-Mu lagi.
Tuhan menjawab lagi, “Malaikatmu, akan selalu mengajarkamu
keagungan-Ku, dan dia akan mendidikmu, bagaimana agar selalu patuh
dan taat pada-Ku. Dia akan selalu membimbing mu untuk selalu
mengingat-Ku. Walau begitu, Aku akan selalu ada disisimu.”
Hening. Kedamaianpun tetap menerpa surga. Namun, suara-suara
panggilan dari bumi terdengar sayup-sayup. “Ya Tuhan, aku akan pergi
sekarang, tolong, sebutkan nama malaikat yang akan melindungiku….”
Tuhanpun kembali menjawab. “Nama malaikatmu tak begitu penting.
Kamu akan memanggilnya dengan sebutan: Ibu…”

*Gambar Hiasan 

Nota kaki : Sesungguhnya , syurga itu terletak dibawah telapak kaki ibu . Hormatilah ibu mu selagi dia masih berada di dunia ini :') Tidak akan terbalas jasa seorang ibu itu dengan wang ringgit dan emas permata . :') 

Sunday 15 September 2013

Allah Uji Tanda Sayang :)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertentu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian sama ada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula telatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.

Allah Maha Pengasih; jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita sama-sama mengcungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan. Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, mengharapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji.Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).

Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan di datangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.

Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah 

diterimanya. Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi. Ujian ini sengaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya. Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah. 

Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang bermaksud:     “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”

Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:     “Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.”

Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif,masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab:   

“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”

Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan keimanannya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji….

Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengakukesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya.Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah dirotan. Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih. Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita. 

Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan. Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah segala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah. Dan ingatlah, andai kata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! 

*Jadi mengapa mesti merungut ketika diuji ? Ujian itu membuatkan kita terasa dekat dengan Allah :')
Lah Tahzan . 



Wednesday 11 September 2013

Mati Itu Pasti

Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan. (Surah Yunus, 10:56)
 death

Usia adalah nikmat yang akan ditanya oleh Allah SWT. Semakin bertambah usia kita, ertinya semakin banyak persoalan yang perlu dijawab di hadapan-Nya.
Bila sudah sampai masa kita, nyawa pasti tercabut. Kuburlah destinasi kita yang seterusnya, sementara menanti saat dipanggil ke Hari Akhirat. Semuanya akan kekal di sana tanpa dapat pulang semula. Oleh itu, beringat-ingatlah sebelum tiba masanya kita tidak akan dibenarkan pulang lagi.
Itulah saat kematian.
Ya, itulah kematian. Kita sering berhadapan dengan saat kematian ahli keluarga, kenalan atau sahbat handai. Sedarkah kita… hari ini kita solatkan jenazah orang, tapi suatu hari nanti, akan tiba masanya, orang lain pula yang akan solatkan jenazah kita.
Seringkali kita mendengar apabila berlaku kematian, ia disebut sebagai ‘tamatlah riwayat’. Sebenarnya riwayat si mati tidak tamat. Tapi baru sahaja bermula episod baru iaitu Alam Barzakh; yang akan menjadi tempat tinggal sementara kita yang seterusnya. Elok amalan kita, eloklah tempat tinggal kita. Begitu juga sebaliknya.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).

 Bila kita mati, tiada apa yang akan kita bawa selain tiga amalan ini. Ketika itu, tidak mampu lagi melakukan apa-apa kerana sudah terlambat untuk kita. Menangis, menangis, meraung, tertunduk menyesal pun tiada guna kerana kita sudah diberi masa yang cukup panjang.
Setiap saat, setiap nafas, semua akan disoal oleh Allah swt. Tapi masa itu lah yang selalu kita bazirkan.
MATI
Marilah berpegang pada tali Allah sedaya upaya kita.
Jika pergi ke tempat yang tidak pernah pergi, kita akan cuba usahakan untuk mengekori kereta yang dipandu oleh pemandu yang biasa ke tempat tersebut. Andai terpisah jauh sehingga bayangnya tidak kelihatan lagi, sudah tentu kita berasa runsing kerana bimbang tersesat jalan. Demikian juga dengan perjalanan kita ke akhirat. Hendaklah kita mengekori rapat panduan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW iaitu al-Qur’an. Jika kita jauh daripada al-Qur’an, sepatutnya kita berasa risau dan gundah gulana. Apakah akan sampai kita ke akhirat nanti dengan selamat?
Apabila tiba saat kematian dan kita pula dalam perjalanan menuju ke kampung akhirat, ketika itu sudah tiada guna sebarang milik kita ini. Usah ditanya lagi, apa milik kita? Semuanya tidak akan dapat membantu kecuali amalan. Tidak kira apa tafar kita; jawatan, pangkat dan kebesaran telah tiada gunanya. Justeru, kita perlu segera jadikan amalan kerja di dunia ini menjadi pahala di sisi Allah kelak.
Hargailah denyut nafas yang dipinjam-Nya. Sesungguhnya, nyawa yang dianugerahkan umpama bateri pada sebuah kereta. Tanpa bateri, kereta tidak akan dapat dihidupkan. Ada bateri yang menunjukkan tanda untuk rosak. Ada juga yang tiba-tiba sahaja rosak. Begitulah nyawa kita; adakala tanpa tanda, kita dipanggil Ilahi.
Hidup ini pasangannya adalah mati. Sepeti pagi pasangannya adalah petang. Dunia pasangannya akhirat. Pasangan Syurga adalah Neraka. Kesemua ciptaan Allah mempunyai pasangan. Yang tiada pasangan hanya Allah sahaja.
Sedarlah… kita semua adalah tetamu. Apabila disebut sebagai tetamu, ertinya kita menumpang sesuatu yang bukan milik kita. Maka kita tidak boleh memandai-mandi melakukan apa yang kita mahu.
Jika kita bertamu ke rumah orang, kita seharusnya menjaga perilaku kita di tempat yang bukan milik kita.  Begitu juga kita sebagai tetamu Allah di muka bumi ini. Sampai masa kita akan kembali juga kepada-Nya, kepada Dia Maha Pencipta.
Bumi ini juga bukan hak kita dan bukan ciptaan kita. Kita keluar dari perut ibu, tengok-tengok bumi sudah ada. Begitu juga ayah kita, ibu kita dan datuk nenek kita. Segala yang ada di bumi ini sudah ada saat mata kita tercelik kerana  hatta sebutir beras pun tidak dibuat oleh manusia. Semuanya adalah ciptaa Allah. Ertinya, kita hidup di bumi ini, makan tanaman yang dicipta-Nya, hirup udara-Nya, maka adakah munasabah kita mahu melawan-Nya?
Marilah kita gunakan usia yang masih berbaki ini untuk mentaati-Nya.
Marilah kita menjadikan kehidupan yang dipinjam ini sebagai saksi bahawa kita telah melakukan amalan soleh selama hayat dikandung badan.
Setiap hari, kita semua sedang dalam perjalanan menuju bertemu Ilahi.

Aku bakal jenazah
 
© Copyright | All Right Reserved by Site Owner