Tuesday, 25 February 2014

Surat buat hawa :)

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”

Assalaamualaikum, saya minta maaf. Dah lama saya termenung, fikir pasal surat ni.
itu mungkin cerita awak sebagai perempuan. Tapi percayalah, tak semua lelaki yang suka ajak perempuan buat maksiat. 

Sejak dari sekolah, saya memang pelik, kenapa orang kata mendekati zina itu haram. Bukannya berzina lagi dah berdosa juga. hmm. Malas nak fikir panjang-panjang. saya kan sekolah lagi.. Tapi masa saya di sekolah, boleh kata saya kira baik la. Saya tak hisap rokok, sebab saya tahu mende tu tak bagi faedah pun. Tapi saya bukannya skema, pernah jugak ponteng kelas sekali dua. Biasa-biasa je. hehe

Tapi,, sejak saya masuk U, saya tengok pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan, memang sangat ketara. Ye la, kat sini ikut suka hati kita nak buat apa. Tak macam kat sekolah, nak jumpa awek pun sorok sorok kat belakang stor dekat padang takut warden nampak. Tapi tu dulu, sekarang saya dah dekat U.

Hmm, saya tengok ramai perempuan tak pakai tudung. Ada yang pakai tudung, ok la. Tapi baju pula hmm, seluar pulak alamakkk. Ada juga baju dah labuh, seluar dah longgar, tapi tudung pulak tak tutup dada, Nampak segala apa yang kami kaum lelaki ni takde.
Aduii, camne nak jaga iman ni?? tapi saya still control lagi, saya still ingat Allah larang kita dekat dengan zina.

Sampai lah satu hari, ada sorang perempuan cakap yang dia suka saya. Dia cantik, pakai tudung dan dia ni baik juga. :) Zaman sekarang ni, perempuan makin berani tunjuk tunjuk hint. Mula mula just nak kawan, sms nak share masalah. kalau pegi shopping atau holiday mana mana, mesti dia ada beli something kat saya. Mula mula saya tak layan sangat jugak. Sebab takut 'terbagi' harapan kat orang perempuan ni. Mereka (perempuan) mudah sangat perasan. Layan sikit, terus ingat kita suka dia. Perempuan ~~

Lama-lama, dia dah berani call saya. dengan suara perempuan yang memang lembut mendayu-dayu, naik luruh jantung saya dengar. Dia mintak tolong saya belikan set kfc zinger burger. Aduii. Banyak kali saya fikir nak beli ke tak. Puas saya cari alasan. Saya tak nak timbul fitnah. Tapi bila dia cakap dia gastrik, hati saya mula timbul kesian. Saya beli makanan dan bagi kat dia. Mula-mula memang asalnya kesian je, tapi lama-lama saya rasa best pulak. Ada orang nak msg saya, kejutkan solat subuh, ada orang nak dengar masalah saya, ada orang nak bagi hadiah pada saya, tambah-tambah kawan-kawan kat kolej saya ni, memang majoriti ada 'girlfren'. Kira macam saya bertuah sangat-sangat. Saya tak cari girlfren pun dah ada orang sayang saya! eh, syoook la pulakk. :)) kau ada?? xde kan.

Satu hari tu, kami keluar berdua dekat satu tempat ni. nak lintas jalan, dia dah ada kat depan.Tiba-tiba ada kereta lalu laju kat jalan tu. Spontan saya tarik tangan dia. Zaaapppp! Saya rasa berdebar-debar.rasa terkejut pun ada. Tapi niat saya nak selamatkan dia je. Yang paling buat saya lagi terkejut, dia senyum. Entah. Tak faham apa dia fikir. 'Dia tak marah ke aku pegang tangan dia?' Hati saya pelik. Dia senyum lagii dan kata 'Awak, terima kasih. Sayang Awak!' Saya senyum juga. Malas nak fikir panjang-panjang. Ohh, seronoknya. Lembutnya tangan diaaaaaa.. Rasa nak pegang lagi. 'haa, gatal-gatal!' akal saya marah. tapi hati saya nak. Dan jujurnya, saya makin lama, makin rasa sayang pada dia. Tak boleh kalau tak 'ber-sms', tak pernah tak call even cakap selama satu minit. Yela, Bila hati dah rindu, bila hati dah sayang, bila hati dah penuh dengan 'nafsu'. Errrrrr.

*********************************************************************************************************

Nafsu?

Saya suka dia sebab nafsu ke?
Saya cinta dia sebab nafsu ke?
'Tak! kan saya nak ambil dia jadi isteri saya nanti!'
Hati saya marah.
'Awak pasti ke nak ambil dia jadi isteri?'
Entah dari mana suara tu datang,
Bunyi seakan-akan mengejek.
Entah,
Tak tahu apa yang saya fikir time tu.
Macam-macam perasaan,
Tapi saya buat tak tahu.
Biar dalam hati saya rasa macam,
'eh-betul-ke-apa-yang-aku-buat-ni?'
Saya dan dia dah ter'couple'.
Nak buat macam mana,
Best la ada couple ni.
Kawan-kawan selalu puji,
Dia cantik even pakai tudung.
Tapi styloo, bergaya kot..
Tambah-tambah dengan fesyen sekarang.
Siapa yang tak kembang semangkuk? eh.
Please, sama-sama jaga diri..

Satu hari tu,
Saya jumpa video ni.
Video hilal asyraf.
tentang cinta.
cinta yang hakiki.
terpukul.
terpana.
terasa.
Semua ada.
saya cinta dia.
Tapi, kenapa saya makin bawa dia ke neraka?
Astaghfirullah.
Kalau betul saya cinta,
Saya mesti nak bawa dia ke syurga.
Tapi, situasi saya?
Saya terpaksa mengaku,
Saya kalah dengan nafsu.
Saya sebenarnya,
... Ikut nafsu.

Sepanjang hari, lepas saya tengok video tu, saya diam. Kawan ajak main bole, saya bagi alasan. Member ajak lepak kat mamak, Saya tolak. Saya nak sendiri. Hp saya letak tepi. Tekan punat off. Saya malu. Saya dah tak sanggup. Saya dah malu sangat-sangat depan Allah. Saya still solat. Saya kadang-kadang mengaji, Tapii.. Saya buat maksiat jugak. Saya makin lalai. Endah tak endah tentang dosa. Saya rasa.. Saya dah tahu kenapa Allah tak bagi dekati zina. Sebab nanti end up, jadi macam saya. Dari sms, lepas tu call, dengar suara, rasa nak jumpa, bila dah terpegang tangan sekali, rasa nak pegang banyak kali. Semua tu NAFSU!!!

Banyaknya dosa saya. :'(
Allah, Allah, Allah.
Saya bangun, ambik wudhu, Solat sunat 2 rakaat. Saya mintak sangat-sangat.
'Allah ampunkan dosa-dosa saya, Allah ampunkan dosa-dosa kita' Dan air mata jantan saya mengalir laju..

Bila dah tenang sikit, saya 'text' dia.
'Awak, this is not the right way. This is not the way that Allah bless. I let you go, and please let me go. I dont want to bring you to Jahannam, Instead I'll pray for you to get the light from Allah. May Allah bless you and me..' 

Dan saya terus matikan hp. Buat kali kedua, saya sedar. Susah. Tapi saya bergantung sepenuhnya pada Allah. Sebab Allah yang pegang hati saya, pegang hati dia. Saya tak nak berpaling lagi. Dan untuk Hawa semuanya, jangan terlalu murah, jangan ambik kesempatan dengan kelemahan lelaki, awak buat suara mendayu macam tu, sembur perfume wangi, pakai blouse, skirt, selendang ala-ala hot gitu, dah namanya Lelaki, Kuat mana Imannya pasti akan tergoda jugak. Jadi,Kena sama-sama jaga diri. Simpan godaan-godaan tu pada orang yang teristimewa kelak. :)

Dan sekarang, saya terus begini, Mujahadah.
Doa saya terus kuat.
Doa supaya dia faham,
Doa kita sama-sama dalam redhaNya. Insya-Allah. :)

Salam alaik? Hehe. Ana tak tau, karya ni siapa punya. Tapi, serius. Cerita ni betul-betul terkena dalam hati. Tersentap, terasa. Kita, Perempuan. Ayuh, mahalkan diri kita. :') Jangan jadi murah sangat. "Perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik" Begitu juga sebaliknya. Jom, kita persiapkan diri kita. First thing first!! Buat Adam, 'Jangan diganggu Mawar Berduri' Kami ada wali, kalau mahu menyunting, Jumpa wali kami :). 

Put your trust in Allah. :)






Saturday, 18 January 2014

Cinta High Class

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang” 

Cinta Tanpa Noda
Tak mampu kudustai rasa ini,
Cukuplah dengan pertautan hati,
Belum masanya berhubung saban hari,
Awasi hati dan anggota, takutkan Ilahi.

Aduh!
Beratnya menggalas perasaan cinta,
tatkala pacaran menjadi budaya,
Mujurlah wahyu menunjuk cara,
Jangan diikutkan sebahagian besar manusia.
(Surah al-An'am 6: 116)

Cintaku buan cinta murahan,
Jati diri benteng pertahanan,
Cabaran Komunikasi kutundukkan,
Mengawal hati formula kekuatan,

Kuberazam pada diri,
Kuingin mahligai kasihku berdiri,
Tanpa kenangan cinta yang dicemari,
Tanpa noda kemurkaan Ilahi.

Kuingin hadiahkan cinta suci,
Buat pasangan yang kunikahi,
Dengan Allah sebagai juri,
Bukan nilaian nafsu sendiri. 


** Jom, jaga cinta hanya untuk yang halal :') Buat akhawat di luar sana, anda 'Limited Edition' yang hanya mampu dimiliki orang yang benar-benar layak. :)



Tuesday, 31 December 2013

Ukhwah Islamiyyah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang” 

MUQADDIMAH
Konsep Ukhwah Islamiyyah ialah persaudaraan atau kasih sayang yang bermatlamatkan mardhatillah yang mana ianya merupakan kurniaan atau pemberian daripada Allah swt. Dia melontarkannya kepada hati-hati hambaNya yang ikhlas dan suci. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al Anfaal ayat 63)


KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB UKHUWWAH (PERSAUDARAAN):

Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian Umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani – ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah – yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah satu tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi yang menghubungkan anggota masyarakat.
Harakah Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.

Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.

1. Ukhuwwah (yang terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:
“Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya”.

Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:
“Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan”.


2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:



“Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini”. (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).

3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya”.

4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:
“Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1)Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2)Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit,(5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya”. (Hadis riwayat Muslim).


5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:
“Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari”. (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).
Rasulullah s.a.w juga bersabda:“Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)”. (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:


“Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara perkara mitu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengair”. (Hadis riwayat ).



Rasulullah s.a.w juga bersabda:


“Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).



6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”. (Hadis riwayat Tirmizi).

Baginda juga bersabda:
“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”. (Hadis riwayat Muslim).

SYARAT-SYARAT UKHWAH

a. Ukhwah yang dibina berlandaskan keihklasan kerana Allah swt. Ukhwah yang dibina berlandaskan keihklasan dan bebas dari sebarang elemen atau sifat kepentingan peribadi atau kerana kepentingan seseorang.

Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadis di dalam sahihnya yang menceritakan soalan malaikat kepada seorang lelaki yang ingin menziarahi saudaranya di sebuah kampong.
Malaikat itu bertanya, “Ke mana kamu hendak pergi?”
Jawab lelaki itu, “Aku ingin menziarahi saudaraku di kampong ini”.
Malaikat itu bertanya lagi, “Adakah kamu mempunyai sebarang kepentingan di sana?”
Lelaki itu menjawab, “Tidak melainkan aku menyintainya kerana Allah.”
Kemudian malaikat itupun berkata, “Sesungguhnya aku adalah utusan Alah yang diutuskan oleh Allah kepadamu untuk menyatakan bahawa Allah menyintaimu sebagaimana sahabatmu keranaNya”.

b. Mestilah disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt.


Seseorang Muslim itu mestilah memilih sahabatnya yang soleh dan bertaqwa supaya dapat membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada dirinya. Nabi Muhammad saw telah menjelaskan akan kepentingan memilih sahabat yang baik sebagaimana yang disabdakan Baginda yang bermaksud:



“Perumpamaan orang yang berkawan antara orang yang baik dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikan kepadamu atau mungkin kamu akan membeli daripadanya dan mungkin kamu akan dapat bau yang harum daripadanya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok (daripada besi tersebut).” (Muntafaq ‘Alaih)

Namun demikian, ia tidak beerti kita tidak boleh langsung berkomunikasi atau bersahabat amaada kepada golongan yang tidak baik atau kafir, tetapi di dalam konteks ini kita mestilah istiqomah agar tidak terjebak atau terpengaruh dengan sebarang keburukan. Sebaliknya kita yang menguasai situasi sebagai pendakwah. Contohilah ikan yang tidak masin isinya walaupun hidup di dasar lautan.

c. Mereka yang berukhuwwah mestilah melazimi diri dengan manhaj Islam.


Syarat yang seterusnya bagi mereka yang berukhwah ini mestilah melazimi diri mereka dengan peraturan ataupun manhaj Allah swt sebagaimana yang terdapat di dalam ajaran Islam. Sumber penyelesaian pertikaian ataupun masalah mesti dirujuk kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw. Sebagaimana Sabda Nabi saw yang bermaksud:



“Dan dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, berkumpul keranaNya dan berpisah keranaNya”.

Jika disoroti kepada perjalanan hidup para sahabat, apabila mereka bertemu mereka tidak berpisah sehinggalah salah seorang daripada mereka membaca Surah al-Asr dan mengucapkan salam sesama mereka. Ini adalah di antara contoh yang menunjukkan bahawa mereka nerkasih sayang berteraskan manhaj Islam dan di atas dasar keimanan serta amal soleh.

d. Mempraktikkan amalan nasihat-menasihati.


Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt di dalam Surah al-Asr:



“Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran (di atas kepahitan kebenaran)”

e. Ukhuwwah yang melaksanakan konsep saling tolong menolong samada dalam susah atau senang.


Di dalam Islam, persaudaraan adalah sesuatu yang teramat penting sebagai asas kepada perjuangan. Rasulullah saw dan juga para sahabat telah menunjukkan contoh yang terbaik di dalam membantu dan menolong sesama mereka. Mereka saling lengkap-melengkapi tidak kira dalam masa Nabi berada di Mekah ataupun tatkala Islam berkuasa di Madinah. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:



“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubunhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya”  (Muntafaq ‘Alaih)

Hak-Hak Ukhwah


a. Memberi salam

b. Menjawab salam

c. Menziarahi sahabat yang sakit.
d. Mengiringi jenazah
e. Memenuhi undangan.
f. Mendoakan sahabat ketika bersin.
g. Menolong mereka yang dizalimi.
h. Memberikan perhatian kepada nasihat yang diberikan.
i. Menolong mereka yang kesusahan.


Selain itu Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ulum Al-Din telah menggariskan 8 perkara yang perlu ditunaikan dalam persaudaraan Islam:
1) Saling tolong menolong samada dalam keadaan senang ataupun susah. Sebagaimana Hadis Nabi saw yang bermaksud:


 “Perumpamaan dua orang yang bersaudara itu adalah umpama kedua-dua tangan yang mana salah satunya membasuh tangan yang lain”

2) Menolong saudara kita untuk menyelesaikan hajatnya sebelum diminta.

3) Diam atau tidak memperkata atau menyebarkan keaibannya samada semasa dia ada atau tidak dan tidak mencari-cari kesalahannya.

4) Menebarkan kebaikannya dan memanggilnya dengan nama yang baik. Saidina Umar pernah berkata: 


“tiga perkara, apabila kamu lakukan, maka akan terjalinlah kasih sayang; iaitu yang pertama, apabila bertemu mulakan salam, yang kedua; lapangkan tempat duduknya di dalam majlis dan yang ketiga panggillah dengan panggilan yang baik.

5) Nasihatilah dia dengan cara yang lembut sekiranya dia terlalai atau melakukan dosa.
6) Mendoakannya semasa hidup atau selepas kematiannya.
7) Menghormati semua rakan-rakan dan kaum kerabatnya.
8) Tidak memberati sahabat kita dengan apa-apa yang boleh menyusahkannya.


KESATUAN AQIDAH

Ia merupakan faktor terasas dalam pembentukan Wahdatul Amal dan Wahdatul Fikr. Tumpuan utama dalam menyatupadukan Aqidah ialah dengan mentauhidkan Allah kerana tuntutan tauhid adalah bertunjangkan Rububiyyah dan Uluhiyyah. Tauhid yang diimani inilah yang menjadi asas kefahaman yang jelas seterusnya melahirkan amal Islami yang ikhlas. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan di dalam (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dan yang sesat. Kerana itu, barangsiapa yang ingkar kepada taghut lalu mereka beriman kepada Allah, seungguhnya mereka telah berpegang kepada tali Allah yang amat kuat dan tidak akan ia putus. Dan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”  (al-Baqarah : 256)

Berdasarkan Sirah Rasulullah saw, baginda pada permulaannya telah menjalankan usaha memperbetulkan aqidah masyarakat daripada kekotoran syirik dan kufur kea rah mengesakan Allah bagi mencapai kesatuan ummah. Manakala menurut Hassan al-Banna pula, beliau mengelakkan daripada berlaku perpecahan dengan memberikan kefahaman yang jelas dan menutup pintu penyelewengan.
KESATUAN AMAL DAN MATLAMAT

Hasil daripada kesatuan fikrah dan kefahaman, maka akan lahirlah kesatuan amal dalam jemaah kea rah matlamat yang satu. Apa yang paling penting dalam merealisasikan kesatuan amal dan matlamat adalah wala’ dan taat yang mutlak kepada Allah, Rasul dan ketaatan kepada jalan yang benar kepada pimpinan. Segala yang diputuskan oleh pimpinan perlu ditaati selagimana ia tidak bercanggah dengan syariat. Keingkaran kepada perkara tersebut dan saling merasa hebat akan mewujudkan perpecahan dalam jemaah biarpun wujudnya kesatuan fikrah di dalamnya.
Hassan Al Banna di dalam Risalah Ta’lim menganjurkan kepada Amal Islami yang serius. Menurut beilau, umat Islam apabila sibuk dengan amali, perdebatan akan berkurangan. Apabila umat Islam itu akan ditimpa kelemahan dan kemunduran serta kelunturan semangat ahli sekiranya mereka hanya sibuk berdebat yang akhirnya mewujudkan perpecahan.
Kesan daripada tiadanya amal dan system di dalam gerakan Islam dan dakwah, kita dapati banyak kumpulan yang mendakwa mereka sebagai badan Islam dan dakwah, sedangkan cara yang dilakukan adalah bertentangan dengan syara’. Oleh itu, tidak harus bagi sesiapa untuk samaada menyertai atau menyokong jalan tersebut walaupun matlamatnya adalah untuk Islam (matlamat menghalalkan cara).
Jalan atau cara yang perlu dilalui oleh anggota jamaah dan ahli gerakan dakwah ialah:
a. Iman yang mendalam.

b. Kefahaman asas yang mantap.

c. Pembentukan dan perancangan yang rapi.

d. Bekerja dan beramal dengan berterusan dan ikhlas.
Manakala matlamat umum jamaah Islam adalah untuk mendapatkan Mardhatillah dengan berusaha melaksanakan tugas mendaulatkan Syariat Islam sebagai sebuah kuasa yang memerintah. Daulah Islamiyyah yang dimaksudkan adalah yang berteraskan ajaran Tauhid bukannya dari pemikiran Orientalis atau golongan Sekular dan ia menjadi kewajipan kepada setiap individu muslim.

**Selamat berukhuwah :) 311213 2:03 pm










 
© Copyright | All Right Reserved by Site Owner