“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”
MUQADDIMAH
Konsep Ukhwah Islamiyyah ialah persaudaraan atau kasih sayang
yang bermatlamatkan mardhatillah yang mana ianya merupakan kurniaan atau
pemberian daripada Allah swt. Dia melontarkannya
kepada hati-hati hambaNya yang ikhlas dan suci. Firman Allah swt yang
bermaksud:
“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati
mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di
bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati
mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka.
Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al Anfaal ayat 63)
KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB UKHUWWAH (PERSAUDARAAN):
Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang
menghubungkan sebahagian dengan sebahagian Umat Islam yang lain. Ia merupakan
ikatan rabbani – ikatan yang diikuti di atas dasar
ketaatan kepada Allah – yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan
yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan
yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana
Allah dan marah juga kerana Allah”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Di dalam ajaran Islam
persaudaraan adalah satu tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah
masyarakat Islam yang kukuh dan sendi yang menghubungkan anggota masyarakat.
Harakah Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan
persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi
seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu
anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota
jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung
penderitaannya.
Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan
dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah
menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan
secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang
mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.
1. Ukhuwwah (yang terjalin di
antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi
hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan
sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:
“Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya
Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia
terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu)
memperingatkannya ia akan menolongnya”.
Teman setia yang baik seperti
inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:
“Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah
di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan
bekalan di waktu kesusahan”.
2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut
merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi
keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:
“Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya
dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan
jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan
di dalam masjidku ini”. (Hadis
riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).
3. Persaudaraan juga adalah
kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia
nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang
memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan
memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan
rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di
akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong
saudaranya”.
4. Ukhuwwah adalah
tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas.
Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:
“Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam
perkara: (1)Apabila
engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2)Apabila
dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat
hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan
bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit,(5) Apabila dia sakit hendaklah
engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia
hendaklah engkau mengiringi jenazahnya”. (Hadis riwayat Muslim).
5. Ukhuwwah juga bererti
kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah
kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan
janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah
yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya
(yang mukmin) melebihi tiga hari”. (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu
Daud, Tirmizi dan Nasaie).
Rasulullah s.a.w juga
bersabda:“Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan,
walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga
satu kebaikan)”. (Hadis
riwayat Muslim).
Rasulullah s.a.w juga bersabda:
“Setiap perkara kebaikan adalah
sedekah. Sesungguhnya di antara perkara mitu ialah bermanis muka ketika bertemu
saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengair”. (Hadis riwayat ).
Rasulullah s.a.w juga bersabda:
“Hendaklah kamu saling memberi
hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
6. Ukhuwwah menurut ajaran
Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya
Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”. (Hadis riwayat Tirmizi).
Baginda juga bersabda:
“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya
itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di
sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan
kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu
berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”. (Hadis riwayat Muslim).
SYARAT-SYARAT UKHWAH
a. Ukhwah yang dibina berlandaskan keihklasan kerana Allah swt.
Ukhwah yang dibina berlandaskan keihklasan dan bebas dari sebarang elemen atau
sifat kepentingan peribadi atau kerana kepentingan seseorang.
Imam Muslim telah
meriwayatkan satu hadis di dalam sahihnya yang menceritakan soalan malaikat
kepada seorang lelaki yang ingin menziarahi saudaranya di sebuah kampong.
Malaikat itu bertanya, “Ke mana kamu hendak pergi?”
Jawab lelaki itu, “Aku ingin menziarahi saudaraku di kampong ini”.
Malaikat itu bertanya lagi, “Adakah kamu mempunyai sebarang
kepentingan di sana?”
Lelaki itu menjawab, “Tidak melainkan aku menyintainya kerana
Allah.”
Kemudian malaikat itupun berkata, “Sesungguhnya aku adalah utusan
Alah yang diutuskan oleh Allah kepadamu untuk menyatakan bahawa Allah
menyintaimu sebagaimana sahabatmu keranaNya”.
b. Mestilah disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah
swt.
Seseorang Muslim itu mestilah memilih sahabatnya yang soleh dan bertaqwa supaya
dapat membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada dirinya. Nabi Muhammad saw
telah menjelaskan akan kepentingan memilih sahabat yang baik sebagaimana yang
disabdakan Baginda yang bermaksud:
“Perumpamaan orang yang berkawan antara orang yang baik dengan
orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seorang
yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin dia
akan memberikan kepadamu atau mungkin kamu akan membeli daripadanya dan mungkin
kamu akan dapat bau yang harum daripadanya. Manakala orang yang meniup dapur
tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan
mendapat bau yang tidak elok (daripada besi tersebut).” (Muntafaq
‘Alaih)
Namun demikian, ia tidak
beerti kita tidak boleh langsung berkomunikasi atau bersahabat amaada kepada
golongan yang tidak baik atau kafir, tetapi di dalam konteks ini kita mestilah
istiqomah agar tidak terjebak atau terpengaruh dengan sebarang keburukan.
Sebaliknya kita yang menguasai situasi sebagai pendakwah. Contohilah ikan yang
tidak masin isinya walaupun hidup di dasar lautan.
c. Mereka yang berukhuwwah mestilah melazimi diri dengan manhaj
Islam.
Syarat yang seterusnya bagi mereka yang berukhwah ini mestilah melazimi diri
mereka dengan peraturan ataupun manhaj Allah swt sebagaimana yang terdapat di
dalam ajaran Islam. Sumber penyelesaian pertikaian ataupun masalah mesti
dirujuk kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw. Sebagaimana Sabda Nabi saw
yang bermaksud:
“Dan dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, berkumpul
keranaNya dan berpisah keranaNya”.
Jika disoroti kepada
perjalanan hidup para sahabat, apabila mereka bertemu mereka tidak berpisah
sehinggalah salah seorang daripada mereka membaca Surah al-Asr dan mengucapkan
salam sesama mereka. Ini adalah di antara contoh yang menunjukkan bahawa mereka
nerkasih sayang berteraskan manhaj Islam dan di atas dasar keimanan serta amal
soleh.
d. Mempraktikkan amalan nasihat-menasihati.
Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt di dalam Surah al-Asr:
“Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali
mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan-pesan kepada
kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran (di atas kepahitan kebenaran)”
e. Ukhuwwah yang melaksanakan konsep saling tolong menolong samada
dalam susah atau senang.
Di dalam Islam, persaudaraan adalah sesuatu yang teramat penting sebagai asas
kepada perjuangan. Rasulullah saw dan juga para sahabat telah menunjukkan
contoh yang terbaik di dalam membantu dan menolong sesama mereka. Mereka saling
lengkap-melengkapi tidak kira dalam masa Nabi berada di Mekah ataupun tatkala
Islam berkuasa di Madinah. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan
saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu
anggota tubunhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut
merasai akan kesakitannya” (Muntafaq ‘Alaih)
Hak-Hak Ukhwah
a. Memberi salam
b. Menjawab salam
c. Menziarahi sahabat yang sakit.
d. Mengiringi jenazah
e. Memenuhi undangan.
f. Mendoakan sahabat ketika bersin.
g. Menolong mereka yang dizalimi.
h. Memberikan perhatian kepada nasihat yang diberikan.
i. Menolong mereka yang kesusahan.
Selain itu Imam Al-Ghazali di
dalam kitabnya Ihya’ ulum Al-Din telah menggariskan 8 perkara yang perlu
ditunaikan dalam persaudaraan Islam:
1) Saling tolong menolong
samada dalam keadaan senang ataupun susah. Sebagaimana Hadis Nabi saw yang
bermaksud:
“Perumpamaan dua orang yang bersaudara itu adalah umpama kedua-dua tangan
yang mana salah satunya membasuh tangan yang lain”
2) Menolong saudara kita
untuk menyelesaikan hajatnya sebelum diminta.
3) Diam atau tidak memperkata atau menyebarkan keaibannya samada semasa dia ada
atau tidak dan tidak mencari-cari kesalahannya.
4) Menebarkan kebaikannya dan memanggilnya dengan nama yang baik. Saidina Umar
pernah berkata:
“tiga perkara, apabila kamu lakukan, maka akan terjalinlah
kasih sayang; iaitu yang pertama, apabila bertemu mulakan salam, yang kedua;
lapangkan tempat duduknya di dalam majlis dan yang ketiga panggillah dengan
panggilan yang baik.
5) Nasihatilah dia dengan cara yang lembut sekiranya dia terlalai atau
melakukan dosa.
6) Mendoakannya semasa hidup atau selepas kematiannya.
7) Menghormati semua rakan-rakan dan kaum kerabatnya.
8) Tidak memberati sahabat kita dengan apa-apa yang boleh menyusahkannya.
KESATUAN AQIDAH
Ia merupakan faktor terasas
dalam pembentukan Wahdatul Amal dan Wahdatul Fikr. Tumpuan utama dalam
menyatupadukan Aqidah ialah dengan mentauhidkan Allah kerana tuntutan tauhid
adalah bertunjangkan Rububiyyah dan Uluhiyyah. Tauhid yang diimani inilah yang
menjadi asas kefahaman yang jelas seterusnya melahirkan amal Islami yang
ikhlas. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan di dalam (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya
telah jelas jalan yang benar dan yang sesat. Kerana itu, barangsiapa yang
ingkar kepada taghut lalu mereka beriman kepada Allah, seungguhnya mereka telah
berpegang kepada tali Allah yang amat kuat dan tidak akan ia putus. Dan Allah
itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (al-Baqarah :
256)
Berdasarkan Sirah Rasulullah
saw, baginda pada permulaannya telah menjalankan usaha memperbetulkan aqidah
masyarakat daripada kekotoran syirik dan kufur kea rah mengesakan Allah bagi
mencapai kesatuan ummah. Manakala menurut Hassan al-Banna pula, beliau
mengelakkan daripada berlaku perpecahan dengan memberikan kefahaman yang jelas
dan menutup pintu penyelewengan.
KESATUAN AMAL DAN MATLAMAT
Hasil daripada kesatuan
fikrah dan kefahaman, maka akan lahirlah kesatuan amal dalam jemaah kea rah
matlamat yang satu. Apa yang paling penting dalam merealisasikan kesatuan amal
dan matlamat adalah wala’ dan taat yang mutlak kepada Allah, Rasul dan ketaatan
kepada jalan yang benar kepada pimpinan. Segala yang diputuskan oleh pimpinan
perlu ditaati selagimana ia tidak bercanggah dengan syariat. Keingkaran kepada
perkara tersebut dan saling merasa hebat akan mewujudkan perpecahan dalam
jemaah biarpun wujudnya kesatuan fikrah di dalamnya.
Hassan Al Banna di dalam
Risalah Ta’lim menganjurkan kepada Amal Islami yang serius. Menurut beilau,
umat Islam apabila sibuk dengan amali, perdebatan akan berkurangan. Apabila
umat Islam itu akan ditimpa kelemahan dan kemunduran serta kelunturan semangat
ahli sekiranya mereka hanya sibuk berdebat yang akhirnya mewujudkan perpecahan.
Kesan daripada tiadanya amal
dan system di dalam gerakan Islam dan dakwah, kita dapati banyak kumpulan yang
mendakwa mereka sebagai badan Islam dan dakwah, sedangkan cara yang dilakukan
adalah bertentangan dengan syara’. Oleh itu, tidak harus bagi sesiapa untuk
samaada menyertai atau menyokong jalan tersebut walaupun matlamatnya adalah
untuk Islam (matlamat menghalalkan cara).
Jalan atau cara yang perlu
dilalui oleh anggota jamaah dan ahli gerakan dakwah ialah:
a. Iman yang mendalam.
b. Kefahaman asas yang mantap.
c. Pembentukan dan perancangan yang rapi.
d. Bekerja dan beramal dengan berterusan dan ikhlas.
Manakala matlamat umum jamaah
Islam adalah untuk mendapatkan Mardhatillah dengan berusaha melaksanakan tugas
mendaulatkan Syariat Islam sebagai sebuah kuasa yang memerintah. Daulah
Islamiyyah yang dimaksudkan adalah yang berteraskan ajaran Tauhid bukannya dari
pemikiran Orientalis atau golongan Sekular dan ia menjadi kewajipan kepada
setiap individu muslim.
**Selamat berukhuwah :) 311213 2:03 pm